Anak Soleh

Sunday, 31 March 2013

Anak Soleh...



adik-adik remaja 
rakan-rakan
muda mudi di luar sana
jadilah insan yabg sentiasa ingin berubah ke arah yang lebih baik
jadilah insan contoh
sama-samalah kita membendung masalah pembuangan bayi
jadilah anak yang soleh/solehah
semoga kita temui redha Allah
di dalam keredhaan kedua orang tua kita
masih sempat untuk berubah
jommm...!!
berubah (^_^)

We are_Social work_Together We Care


Bantuan-->Petikan : Raudhatus Sakinah

Raudhatus Sakinah Bantu Remaja Terlanjur 


ANITA, 19 tahun (bukan nama sebenar) baru saja tamat peperiksaan akhir Matrikulasi di sebuah universiti awam tempatan. Hatinya melonjak-lonjak ingin bertemu kekasihnya, Herman, 21, (pelajar tahun 2 sebuah institusi pengajian tinggi awam) sebelum balik ke kampungnya untuk bercuti panjang.

Herman terlalu sayangkan Anita dan cuba melamarnya untuk mengikat tali pertunangan. Namun, orang tua Anita menolaknya dengan alasan dia masih belajar dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Setelah berjumpa Herman, bas akhir yang ingin dinaiki Anita terlepas, menyebabkan dia terpaksa bermalam di rumah sewa Herman. Lalu berlakulah apa yang sepatutnya tidak berlaku pada seorang gadis belasan tahun yang masih mentah dalam bercinta.

"Saya rasa sangat menyesal kerana tidak tahu apa yang harus dibuat untuk menolak ajakan teman lelaki saya. Dia berjanji akan mengahwini saya, tetapi saya mahu melanjutkan pelajaran dulu". kata Anita.

Anita mengesyaki dirinya hamil selepas tiga bulan tidak kedatangan haid. Pada masa itu, dia baru saja mendapat keputusan matrikulasi yang melayakkan beliau memasuki kursus yang dikehendakinya. Namun, dia terpaksa menangguhkan dulu pengajiannya apabila diterima masuk ke Raudhatus Sakinah yang akan menguruskan kelahiran bayinya.

Ruzaimah, 23, (bukan nama sebenar) lama bercinta dengan Amir, 22, (bukan nama sebenar) yang tinggal di taman bersebelahan kawasan perumahannya. Percintaan mereka bermula sejak selesai Sijil Pelajaran Malaysia dan diketahui keluarga kedua-dua pihak. Kebetulan, mereka sama-sama dapat melanjutkan pelajaran ke salah sebuah politeknik di Pantai Timur. Hubungan mereka seperti 'belangkas' dan diketahui oleh masyarakat kampus. Ruzaimah seorang pelajar pintar dan telah dua kali naik pentas menerima hadiah kecemerlangan pelajaran.

Malang nasibnya, apabila dia hamil akibat pergaulan bebas tanpa batasan, dia dan Amir disingkirkan dari kampus apabila penolong pengetuanya terhidu berita itu. Mereka terpaksa bernikah rahsia kerana ibu bapa Amir melarangnya berkahwin. Kini, Amir terpaksa bekerja di sebuah kedai runcit untuk menampung kehidupan mereka serta bayi yang bakal lahir.

Raudhatus Sakinah, yang menerima kemasukan Ruzaimah, membantu menguruskan perkahwinan mereka dan memberi khidmat kaunseling kepada pasangan remaja itu.

Kisah benar di atas hanya secebis daripada pelbagai kisah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit dengan gejala zina akibat pergaulan terlalu bebas tanpa batasan. Sungguh malang dan menyedihkan, mereka yang pintar ini, seharusnya menjadi contoh bagi remaja lain, Namun, disebabkan kejahilan terhadap kesihatan reproduksi, sikap ibu bapa yang terlalu mengongkong dan enggan memahami cinta remaja, serta pergaulan bebas, menyebabkan penyakit sosial ini semakin menular kebelakangan ini.

Statistik Raudhatus Sakinah menunjukkan, 15 peratus daripada pelatihnya adalah pelajar IPT. Namun, kami percaya jumlahnya lebih besar lagi.

Banyak maklumat yang kami terima daripada pelatih bahawa ada rakan mereka yang hamil, pergi ke klinik swasta untuk menggugurkan kandungan dengan hanya membayar sejumlah wang. Alangkah malangnya wang biasiswa yang diterima, digunakan pula untuk tujuan yang terkutuk itu!

Allah berfirman, maksudnya: "Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar." (Surah al-Isra : 32-33).

Ayat di atas menunjukkan kaitan zina yang dilakukan dengan kesalahan membunuh, yang biasanya terpaksa dilakukan untuk menutup malu. Relakah kita melihat remaja kita menanggung dua dosa besar yang dilakukan? Kepada adik-adik remaja yang terlanjur, bertaubatlah segera dengan taubat nasuha. Hentikan segala tindakan yang akan membawa kepada berlakunya zina sekali lagi.

Islam mengharuskan hubungan halal di antara lelaki dan wanita melalui perkahwinan. Malah, Islam menganggap perkahwinan sebagai sebahagian daripada amal salih dan ibadat kepada Allah. Islam mahu menjadikan perkahwinan itu, satu pekerjaan yang mudah dibuat dalam masyarakat serta menjadikan zina itu sebagai pekerjaan paling sukar dilakukan.

Kerana itu, Islam menggariskan konsep hijab yang juga kod etika atau pedoman bagi lelaki dan wanita berurusan dalam masyarakat.

Sistem hijab menekankan kepada menjaga batas pergaulan, adab berpakaian di kalangan ahli keluarga lelaki dan perempuan, dan adab menutup aurat di hadapan mereka yang halal dinikahi. Ia juga menekankan supaya menjauhi diri daripada syahwat yang tersembunyi, dengan cara menundukkan pandangan terhadap media lucah, pandangan berahi dan pendedahan aurat.

Remaja harus dididik supaya bertanggungjawab di atas segala tindakan mereka, yang akan memberi kesan pada kemudian hari. Sekali mereka terjebak, kesudahannya penyesalan sepanjang hayat! Apakah kesan bagi remaja IPT ini apabila berlaku kehamilan di luar nikah?

1. Mereka dibuang dari IPT atau digantung pengajian. Bayangkan perasaan malu yang menimpa serta masa depan yang gelap! Mereka juga terpaksa bekerja dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia saja.

2. Mereka menggugurkan kandungan dan dalam keadaan jahil, berterusan melakukan zina, hingga ada yang telah berkali-kali ke klinik untuk melakukan pengguguran! Perlu ditegaskan, melakukan pengguguran berulang kali dalam tempoh terdekat pada usia remaja boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem reproduksi dan mendatangkan pelbagai komplikasi pada masa depan.

3. Menghidap penyakit kelamin seperti herpes, sifilis dan Aids. Ini biasa berlaku kepada remaja perempuan yang berpasangan dengan lelaki dewasa yang sering pula bertukar-tukar pasangan.

4. Dibuang keluarga yang malu akibat perbuatan aib mereka.

5. Terpaksa bernikah secara tergesa-gesa tanpa persediaan mental dan emosional yang stabil.

6. Mengalami penderitaan emosi, terutama apabila si lelaki tidak mahu bertanggungjawab atau menghilangkan diri.

7. Gangguan mental juga dialami remaja perempuan apabila memikirkan masa depannya yang gelap.

Raudhatus Sakinah kerap menerima kes di mana ibu bapa masih enggan menikahkan anak mereka yang terlanjur atas alasan anak terlalu muda, masih lagi belajar dan belum bekerja. Apakah pekerjaan lebih penting dari bertanggungjawab atas dosa yang dilakukan?

Ibu bapa pelajar lelaki juga didapati 'mengajar' anak lelaki mereka agar jangan mengaku, sebaliknya menyalahkan remaja perempuan yang mengandung, dengan tuduhan yang tidak wajar. Ini menyebabkan pernikahan tidak dapat diteruskan dan usaha menyelesaikan masalah pasangan itu menemui jalan buntu, sedangkan mereka sudah benar-benar insaf dan mahu bertanggungjawab.

Kami ingin meminta sekalian ibu bapa agar bersikap prihatin dan memahami remaja. Sekiranya anda melarang mereka daripada berkahwin ketika masih menuntut, nyatakan secara jelas sebabnya dan keprihatinan anda. Jangan galakkan mereka bertemu dan seterusnya hanyut dalam hawa nafsu.

Sekiranya mereka meminta izin untuk berkahwin demi mengelakkan maksiat, itulah yang sebaik-baiknya. Mudah-mudahan dengan berkat restu dan doa anda sebagai ibu bapa, keberkatan dan rahmat Allah akan melimpah dalam kehidupan mereka.

RAUDHATUS Sakinah menawarkan bantuan kaunseling siber kepada remaja bermasalah dan boleh dihubungi e-mel raudhatus_sakinah@yahoo.com
PENULIS adalah sukarelawan Raudhatus Sakinah

Wallahu'allam.
Azlina Roszy Mohamad Ghaffar
19 March  2003

Keratan Akhbar_Pembuangan bayi



Conclusion : Pembuangan bayi


Ringkasannya di sini,setiap bayi yang dilahirkan mempunyai hak untuk hidup. Oleh itu, semua masyarakat haruslah bekerjasama bergabung tenaga bagi membanteras dan mencegah saupaya gejala pembuangan bayi ini tidak menular ke tahap yang lebih serius. Tindakan bersepadu Angkatan Relawan Rakyat (RELA), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan Rukun Tetangga (RT) perlu menangani pergaulan bebas dalam kalangan remaja dengan tindakan awal kerana “mencegah itu lebih baik daripada mengubati”. Masyarakat perlu sedar bahawa bayi ini merupakan Anugerah Allah SWT yang diamanahkan kepada hambanya untuk bertanggungjawab dan menjaga malah sebaliknya bagi pasangan kekasih yang telah terlanjur,bayi yang akan dilahirkan itu menjadi satu beban kerana mereka tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab diusia yang masih muda iaitu usia remaja.


Saturday, 30 March 2013

KESAN-KESAN Pembuangan Bayi

KESAN-KESAN PEMBUANGAN BAYI


Mempunyai tiga kesan:
·         Kesan terhadap bayi
·         Kesan terhadap ibu yang melahirkan
·         Kesan terhadap keluarga perempuan
·         Kesan terhadap masyarakat

Kesan terhadap bayi


Kesan terhadap bayi adalah menyebabkan dia akan di pandang rendah dan di hina oleh masyarakat setempat. Bayi ini setelah dewasa tidak akan dapat mengenali siapa ibu bapa kandung sebenarnya.Selain itu, bayi ini akan berasa sangat sedih dan kecewa akan sikap ibu bapa kandungnya yang membuangnya dan tidak menjaganya. Seterusnya, bayi ini akan menghausi kasih sayang daripada ibu bapa kandungnya yang telah membuangnya. Bertuah sesiapa ibu bapa yang masih dimaafkan oleh anak kandung yang mereka buang itu namun jika sebalik maka ia akan di laknat di neraka jahanam oleh Allah SWT.


Kesan terhadap ibu yang melahirkan
Kesan terhadap ibu yang melahirkan pula adalah sekiranya ibu ini telah membuang bayinya dalam tempoh masa terdekat mahupun panjang sudah pasti dia akan merindui anaknya kembali. Misalnya, jika anaknya masih hidup dan dijaga oleh keluarga angkat dan dia ingin mengambil semula anaknya. Sebarang kemungkinan anaknya tidak mahu kembali kepadanya kerana anaknya tidak mengenali ibu kandung sebenarnya sedangkan anak itu telah dijaga rapi oleh keluarga angkatnya. Oleh itu, ibu yang membuang bayi tersebut akan berasa amat menyesali perbuatannya malahan tidak pasti lagi anaknya itu akan memaafkan ibunya.






Kesan terhadap keluarga perempuan
Kesan terhadap keluarga perempuan adalah maruah diri  dan keluarganya akan musnah akibat maksiat, penzinaan, hamil dan membuang bayi memang amat memalukan keluarga kerana ia berlaku secara terus menerus. Selain itu, keluarga perempuan juga akan di pandang hina sehingga turun temurunnya walaupun ia hanya berlaku sekali. Seperti kata orang-orang tua, walaupun banyak kebaikan yang kita lakukan malah hanya satu keburukan kita lakukan itu pula mereka perkatakan sampai bila-bila.


Kesan terhadap masyarakat

Kesan terhadap masyarakat pula adalah kita akan digelar masyarakat tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan serta masyarakat yang kejam. Selain itu, gejala ini juga dapat menganggu sistem nilai dalam perpaduan dan kesejahterahan masyarakat kita. Kemodenan masyarakatlah yang menyebabkan perubahan sangat ketara dalam proses sosiolisasi. Nilai-nilai tradisi masyarakat tradisional seperti gotong-royong, zirah menziarahi telah menjadi luntur di kalangan masyarakat kita kerana saling berselisih dan menyelisihkan orang yang telah membuang bayi.

LANGKAH-LANGKAH Menangani


LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PEMBUANGAN BAYI

Melalui tiga peranan iaitu:
·         Peranan pihak berkuasa dan badan NGO
·         Peranan ibu bapa
·         Peranan pihak media massa


Peranan Pihak Berkuasa dan Badan NGO

       Peranan pihak berkuasa dan badan-badan NGO adalah mengatasi kemelutan pembuangan bayi. Pihak berkuasa terutama pihak polis haruslah membanteras pengedaran bahan-bahan lucah daripada tatapan anggota masyarakat terutama golongan remaja. Selain itu, pihak polis juga perlu tegas mengenakan hukuman yang setimpal kepada mereka yang bersalah itu di penjara seumur hidup.Oleh itu, mereka akan berhati-hati semasa bergaul dan mengelakkan hubungan yang melampaui batasan agama. Badan-badan NGO pula hendaklah mengadakan program peringkat awal pendidikan agama dan sosial dengan lebih berkesan dan menyeluruh. Penekanan pendidikan amat penting bagi menyedarkan masyarakat terutama remaja dengan maklumat yang tepat agar mereka tidak terjebak dalam masalah sosial yang membabitkan jenayah pembuangan bayi ini.

Peranan Ibu Bapa

Peranan ibu bapa adalah mendidik anak-anak menjadi insan yang bermoral dan tidak mudah terpengaruh dari gejala sosial yang bercegahan dengan agama.Didikan agama yang sempurna perlu diberikan seawal yang mungkin kepada anak-anak bagi memandu mereka kearah kebaikan. Remaja yang mempunyai iman yang teguh tidak akan mudah terjebak dengan gejala sosial ini kerana mereka dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Ibu apa juga perlulah mengawasi pergaulan anak-anak supaya tidak terjebak dengan perbuatan haram dan berdosa seperti melakukan seks bebas.

Peranan Pihak Media Massa

Peranan pihak media massa adalah memberikan  pendedahan tentang kesan pembuangan bayi kepada masyarakat luar perlu dititikberatkan. Program-program motivasi dan kempen-kempen kesedaran haruslah dilaksanakan oleh pihak media amat berguna dan bermakna. Misalnya, pendedahan berbentuk grafik dan kisah benar tentang  seseorang yang pernah membuang bayi lalu ini akan membangkitkan kesedaran para remaja. Program motivasi dan kempen kesedaran seperti ‘Dosa Besar’ dan ‘Adab Bergaul’ mampu memperkuatkan lagi rasa keinsafan dan ketakutan remaja  dalam melakukan dosa. Pihak media massa juga hendaklah memberhentikan program-program hiburan melampaui yang boleh merosakkan akhlak remaja seperti cerita-cerita mengandungi adegen 18sx.